Kamis, 08 Mei 2008

Makanan segera antara punca kegemukan kanak-kanak




MAKANAN segera atau fast food sering menjadi
pilihan kanak-kanak apabila mereka dibawa keluar sama ada untuk
bersiar-siar atau membeli-belah. Sudah semestinya, restoran makanan segera
menjadi pilihan utama, apatah lagi jika set makanan itu turut
menyediakan permainan.

Namun,sebagai ibu bapa kita seharusnya memberi pendidikan dan melatih anak-anak kita supaya mereka mengamalkan pemakanan seimbang, iaitu mengambil semua jenis makanan yang zat-zat dan neutrien penting seperti karbohidrat, protein, fibre atau serat dan kalsium.

Memang tidak dapat dinafikan sememangnya sukar bagi ibu bapa mengawal pemakanan anak-anak, apa lagi jika anak-anak ini berusia di antara lima hingga 10 tahun.

Perunding Pemakanan Mont Kiara Medical City di Kuala Lumpur City Centre,
Farah DiBa Khan, berkata pengambilan makanan segera perlu dihadkan
seminggu sekali kerana ia tidak membekalkan diet seimbang.

Beliau berkata, pengambilan makanan segera harus dikurangkan kerana banyak mengandungi lemak dan diet
seumpama itu tidak berkhasiat kepada kanak-kanak yang sedang membesar
kerana dikhuatiri mereka akan mengalami masalah kegemukan pada kemudian
hari.

Makanan segera selalunya tidak mengandungi serat manakala kandungan gula
dan garam pula tinggi.

“Sebaik-baiknya hadkan pengambilan makanan segera seminggu sekali kepada
anak. Sebagai ibu bapa, anda perlu melatih dan mendidik mereka supaya
tidak kerap mengambil makanan segera sejak peringkat awal lagi.

“Memang sukar untuk melatih mereka mengamalkan diet seimbang dan
berkhasiat dan ini mungkin mengambil masa. Selalunya tarikan utama
kanak-kanak terhadap makanan segera adalah permainan yang turut dijual
di dalam setiap set makanan kanak-kanak,” katanya.

Ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini, Farah DiBa berkata, makanan
mempunyai fungsi penting dalam kehidupan dan pertumbuhan setiap
kanak-kanak.

Lazimnya, burger, kerepek kentang, sosej dan nuget ayam sering menjadi
pilihan walhal semua makanan itu boleh dibuat dan dimasak sendiri di
rumah.

“Justeru, jika terdapat masa terluang, ibu-ibu boleh membuat sendiri burger,
sosej, kerepek kentang dan nuget ayam. Ini jauh lebih baik kerana
selalunya apabila makanan itu dimasak sendiri, tiada bahan pengawet dan
perasa yang digunakan,” katanya.

Beliau berkata, selain pengambilan makanan segera, ibu bapa juga tidak
berpeluang memantau pengambilan pelbagai jenis makanan yang kurang
berkhasiat pada anak-anak ketika di sekolah.

Kantin sekolah pula selalunya lebih banyak menyediakan makanan bergoreng
dan berlemak dan ini sekali gus menjadikan pengambilan makanan anak-anak
tidak seimbang dan berkhasiat.

“Sebaik-baiknya, sediakan bekalan dari rumah untuk ke sekolah. Ini bukan
saja dapat mengajar anak itu berjimat cermat tetapi mendidik mereka
supaya mengamalkan diet yang lebih baik. Bagaimanapun, seminggu sekali
beri wang saku kepada mereka untuk membolehkan mereka berbelanja di
sekolah pula.

“Sebagai ibu bapa, anda perlu bijak menyediakan bekalan makanan untuk
anak. Pelbagaikan makanan yang dibekalkan, contohnya, sandwic sardin,
pau kukus, sandwic telur, sandwic tuna dan mi goreng.

“Pastikan menu bekalan itu berubah setiap hari kerana dikhuatiri anak
akan cepat bosan jika anda menyediakan makanan yang sama saban hari,”
katanya.

Farah DiBa berkata, anak juga jarang atau sukar mengambil sarapan dan
keadaan ini kadangkala menyebabkan ibu bapa buntu memikirkan makanan
terbaik untuk anak mereka sebelum melangkah ke sekolah.

Jika kanak-kanak kurang selera untuk makan, pastikan mereka minum
segelas susu rendah lemak untuk mengalas perut sebelum ke sekolah. Susu
rendah lemak perlu diperkenalkan kepada kanak-kanak apabila mereka
berusia lima tahun.

“Apabila anak anda sudah mencapai usia lima tahun, sebaik-baiknya,
perkenalkan kepada mereka makanan dan minuman rendah lemak sebagai satu
daripada langkah mencegah kegemukan.

Berdasarkan kajian, alasan yang sering diberikan kerana mengabaikan
sarapan ialah tidak cukup masa dan kurang selera.

Malah, hanya kira-kira 30 peratus kanak-kanak sekolah rendah didapati
tidak bersarapan biarpun ia amat penting sebelum memulakan kegiatan
harian.

Farah DiBa berkata, selain mendidik anak terhadap pemakanan seimbang dan
berkhasiat, ibu bapa juga digalakkan supaya mengajar anak-anak mereka
bersenam sejak kecil lagi untuk memastikan mereka tidak mengalami
masalah kesihatan, termasuk kegemukan.

Mengikut kajian, hanya 24 peratus kanak-kanak terbabit dalam kegiatan
fizikal seperti berbasikal, bermain badminton dan berlari.

Bagaimanapun, apa yang membimbangkan ialah 76 peratus daripada mereka
lebih menumpukan perhatian terhadap kegiatan yang tidak memerlukan
pengeluaran peluh seperti menonton televisyen.

Makanan yang sering diambil oleh kanak-kanak untuk sarapan?

- Roti (21 peratus).

- Nasi lemak (15 peratus).

- Nasi goreng (14 peratus).

- Kuih-muih (13 peratus).

- Roti canai (sembilan peratus).

- Mi dan telur (masing-masing lapan peratus).

- Bijirin (tujuh peratus).

- Goreng pisang (tiga peratus).

- Lain-lain (dua peratus).

Farah DiBa berkata, pengambilan makanan tidak seimbang dan tidak
bersenam adalah dua faktor yang meningkatkan risiko kepada kanak-kanak
untuk berdepan dengan masalah kegemukan selain genetik.

Justeru, beliau berkata, bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga
bermasalah kegemukan, perlu memandang berat pengambilan makanan di
kalangan anak mereka sejak dari kecil.

“Ini kerana, katanya, kanak-kanak yang gemuk sejak kecil akan terus
menjadi gemuk apabila dewasa walaupun tidak 100 peratus daripada mereka
akan berterusan berkeadaan begitu. Namun, amat kurang kanak-kanak gemuk
akan menjadi kurus apabila mereka meningkat dewasa,” katanya

Tidak ada komentar:

ENJIN CARIAN GOOGLE